SEJARAH




1935 - Kampung Parit 7 Baroh Sungai Leman telah dibuka oleh 14 orang yang berasal dari Jawa Timur, Indonesia. Penerokaan tanah ini bermula dari baroh atau tepi pantai. 

Haji Sardiah dilantik menjadi "Pak Lurah" atau "Sidang" yang pertama.


1945 - British mempunyai dasar mewujudkan kawasan sawah padi di Sekinchan bagi menampung keperluan makanan asas penduduk dan membenarkan penerokaan baru dijalankan.

Pada masa itu penerokaan baru cuma dibenarkan tanah lesen  satu ekar untuk kebun kelapa dan berkembar dengan 3 ekar sawah padi. Kedatangan peneroka peringkat kedua ini agak ramai. Haji Ahmad Basar yang berjawatan ”Mandur” di JPT dan beliau juga anak angkat Sidang Sardiah telah meneruskan kepimpinan kampung. Dengan persetujuan ramai kampung ini di beri nama ”Kampung Batu 17 Sekinchan”.


1948 - Kerajaan British telah mengiktiraf pembukaan kebun tersebut dengan membina parit pembuangan air dari Parit 1, Sungai Sireh, Tanjong Karang hingga ke Parit 15, Simpang 5, Sungai Besar, setiap satu batu satu parit.


1949 - Mandur Haji Ahmad Basar dilantik menjadi Ketua Kampung yang kedua dan nama kampung diganti menjadi ”Kampung Parit 7 Baroh Sungai Leman”.  Sidang Haji Ahmad Basar telah melantik Haji Munir bin Razali sebagai setiausaha dan Haji Misman bin Samikon sebagai bendahari bersama 17 orang AJK.


1978 - Kawasan kampung semakin luas dan semakin susah membuat pemantauan. Semasa YB. Datuk Saidin Adam menjadi Ahli Parlimen sebahagian kampung ini dari Ban 3 hingga Main Canal dan beberapa kampung bersebelahan dipecah untuk mewujudkan kampung baru "Kampung Sungai Leman Timur".


1980 - Sidang Ahmad Basar melantik Misnon bin Bini sebagai setiausaha yang baru. 


1983 - Kampung Parit 7 Baroh Sungai Leman mendapat tempat kedua dalam ”Pertandingan Kampung Terbaik” Peringkat Daerah Sabak Bernam.  Hadiah disampaikan oleh YAB Dato’ Haji Ahmad Razali bin Haji Ali. MB Selangor.  Pada 18 Februari 1996 dalam usia 82 tahun Sidang Ahmad Basar meninggal dunia kerana sakit tua.


1996 - Pentadbiran Daerah Sabak Bernam telah melantik Haji Muanam bin Haji Sirat sebagai Pengerusi JKKK dan seterusnya menjadi Ketua kampung yang ketiga.  Haji Muanam mengekalkan Misnon sebagai setiausaha dan melantik Haji Misman bin Samikon sebagai bendahari. 


1998 - Kampung Parit 7 Baroh Sungai Leman sekali lagi mendapat tempat kedua dalam ”Pertandingan Kampung Terbaik” Peringkat Daerah Sabak Bernam.  Di ikuti tahun berikutnya sebagai johan ”Pertandingan Pelan Tindakan GDW” Peringkat daerah yang dianjurkan  di ILDAS.


2001 - Mendapat kemenangan berganda dalam ”Pertandingan Desa Cemerlang”.  Johan di peringkat daerah dan Naib Johan peringkat Negeri Selangor.


2003 - 22 Februari menyaksikan kampung ini dipecah sekali lagi kerana masih terlalu luas. Panjang dari utara di Taliair 7 hingga selatan di Parit 5 Sekinchan ialah 3 Km.  AJK JKKK memutuskan diwujudkan kampung baru yang diberi nama "Kampung Seri Sentosa", mempunyai 172 buah rumah dan penduduknya seramai 830 orang.Sesuai dengan situasi tersebut,  rombakan AJK dibuat.
    
2008 - Sidang Haji Muanam  dijangkiti sakit buah pinggang dan meninggal pada 17 Julai 2008.


2009 - Kerajaan Persekutuan melantik pula Haji Punari bin Pingi sebagai Pengerusi JKKKP pada 01 April 2009 menjadi ketua kampung yang keempat.  Sidang Haji Punari mengekalkan Misnon bin Bini yang telah berkhidmat sejak Sidang Ahmad Basar sebagai Setiausaha dan Zainurin Jubri yang berkhidamat sejak Sidang Haji Muanam sebagai bendahari.


Tulisan Haji Punari ini hasil dari temuramah dengan;
Hajjah Puteh binti Sardiah ( anak Sidang Sardiah )
Hajjah Azizah binti Janu ( isteri Sidang Ahmad Basar )
Hajjah Surati binti Misni  ( isteri Sidang Haji Muanam )
Hajjah Mardiah Haji Talkah ( Ibu Sidang Haji Punari )
Misnon dan beberapa warga emas kampung.

No comments:

Post a Comment